Saya bertanya kepada emak, "mak mana satu pilihan hati, orang yang
sayangkan kita atau yang kita sayang?"
Mak jawab, "dua-dua bukan.."
Saya tercengang. Mak mengukir senyuman.
"Pilihan hati mak adalah yang sayangkan kita kerana Allah.." saya
menarik nafas dalam-dalam.
"Macam mana nak tau orang tu sayang kita kerana apa?" Mak diam
sekejap berfikir dan kemudian tersenyum.
Rasanya mak dapat menduga apa yang sedang bermain dalam hati anak
perempuannya. Mana mungkin saya mampu menyorokkan rahsia hati dari mak
sedangkan sekilas saya pun mak mampu membacanya.
"Yang paling tahu hanya Allah.." mak merenung dalam-dalam wajah
anaknya.
"Kerana hanya Allah mampu membaca hati hambaNya.." mak menyusun
ayat-ayatnya.
"Dan keikhlasan kerana Allah itu akan terserlah keberkatannya tanpa
perlu sengaja ditonjokan oleh seseorang tu.."
Saya memintas, "Tak faham.."
Mak menyambung, "Cinta di dalam jalan Allah.. Bertemu kerana
sama-sama mencari redha Allah.."
Mak menyambung lagi, "Begini, setiap insan yang bergelar manusia
telah Allah ciptakan berpasang-pasangan. Rasa ingin dikasihi antara
seorang suami dan isteri suatu fitrah. Automatik boleh ada daya tarikan
magnet tu.."
Wajah saya merah, sedikit cemas jika mak dapat mengesan gelora jiwa
muda ini..
Mak menyambung, "Setiap manusia telah Allah tetapkan rezeki, jodoh
dan maut sejak azali lagi. Persoalannya ialah.. siapakah jodohnya itu?"
mak berhenti seketika.
Saya tunduk malu, cuba menyorokkan rasa panas di pipi. Emak
buat-buat tidak nampak.
"Mak dulu masa muda ada secret admire. Rajin betul dia
hantar surat. Masa tu mak dah tahu yang bercinta sebelum kahwin ni tak
halal. Mak nak belajar sungguh-sungguh. Lama budak tu tunggu mak.
Akhirnya mak bagi kata putus, mak hanya akan membalas cinta dia jika
dia sah suami mak. Dan dia memang bukan jodoh mak, maka tak pernah dia
menerima balasan cinta tu," Mak merenung jauh. Saya merapatkan badan
kepada emak, semakin berminat dengan kisah lama mak..
"Mak memang tak ada perasaan lansung pada dia ke?" saya menyoal
sambil memandang tajam wajah mak.
Emak ketawa kecil.
"Walaupun mungkin ada, mak tak pernah bagi peluang pada diri mak
untuk mengisytiharkan perasaan tu. Mak takut pada Allah.
Mak bukan seperti rakan sebaya mak yang lain. Mak, seperti kakak.."
Mak memandang saya sambil memegang pipi dan dagu saya. Kemudian
tangannya mengusap rambut di kepala saya.
"Dulu bila di sekolah, mak pelajar pertama yang bertudung. Mak
membawa imej agama. Kawan-kawan dan cikgu-cikgu panggil mak dengan
gelaran mak Aji. Sebab zaman tu hujung 70-an dan awal 80-an tak ramai
lagi yang bertudung betul menutup auratnya. Zaman tudung nipis dan
nampak jambul. Kemudian kawan-kawan mak sikit-sikit ikut bertudung.
Akhirnya kami semua dipanggil di perhimpunan. Kami dimarah guru besar
kerana bertudung sedangkan ustazah kami bertudung tapi nampak
jambulnya.." emak melemparkan pandangan ke lantai.
"Selepas itu ustazah jumpa kami secara persendirian. Ustazah kata
dia tak mampu nak pakai seperti kami. Dia suruh kami teruskan.."
sambung emak.
Ada getar di hujung suara emak. Kisah silam perjuangan emak di
sekolah dahulu sikit-sikit emak ceritakan pada saya. Itulah juga salah
satu inspirasi kepada saya untuk bangkit semula setiap kali terjatuh
ketika berjuang di sekolah dulu.
"Mungkin kerana personaliti mak, mak menjadi tempat rujukan
kawan-kawan mak. Jadi, bila mak nak ambil sesuatu tindakan, mak kena
fikir betul-betul sama ada tindakan mak tu akan menyebabkan Allah marah
atau tidak. Mak ayah berdosa tak? Dan maruah pembawa agama terjejas
tak? Kalau mak membalas cinta si lelaki tadi, bermakna mak sedang
menconteng arang di muka-muka pembawa-pembawa agama. Orang akan pandang
serong terhadap orang yang bertudung sedangkan kesilapan tu hanya
seorang dua yang buat. Besar fitnah akan timbul apabila orang-orang
agama mengambil ringan batas syariat duhai anak.." mak menelan air
liurnya.
Saya diam. Fikiran saya sedang cuba memahami maksud mak saya.
"Jatuh cinta perkara biasa. Apabila kita jatuh cinta pada seseorang,
itu tandanya ada sesuatu keistimewaan pada seseorang tu. Apatah lagi
orang yang kita jatuh cinta tu di atas jalan dakwah ni. Tetapi kita
kena ingat. Kita tak akan dikahwinkan dengan seseorang atas
sebab jatuh cinta atau saling cinta mencintai. Bercouple
mungkin. Tetapi bukan berkahwin. Kerana kita berkahwin dengan jodoh
kita, jodoh yang Allah dah tetapkan sejak azali. Dan tak mustahil orang
yang kita paling benci itulah jodoh kita yang kita akan dikahwinkan
dengannya.."
Tiba-tiba air mata saya mengalir. Argh! Ego saya kalah bila
mendengar hujah emak.
Emak meneruskan, "Allah itu Maha Adil. Dia tak pernah menzalimi
hamba-Nya. Sesungguhnya, yang selalu menzalimi hamba-Nya ialah diri
hamba tu sendiri. Sebabnya hamba itu degil. Dia mahukan yang bukan
haknya dan yang bukan milik dia. Mencintai seseorang tidak semestinya
memilikinya.
Dalam Islam, kita dah diajar untuk saling mencintai antara satu sama
lain seperti diri sendiri. Jadi apabila kita mencintai saudara
perempuan, kita bebas peluk dia. Tetapi bila dengan lelaki, kita ada
batas-batasnya. Orang kafir kata batas-batas ini suatu
diskriminasi, tetapi sebenarnya batas-batas syariat itulah yang
memelihara kehormatan seorang lelaki dan seorang perempuan.
Cuba renungkan, kita mengenali seorang insan yang amat baik,
sempurna agamanya dan rajin. Lalu kita jatuh hati padanya. Ditakdirkan
jodohnya dengan insan lain, kita pula dengan yang lain. Tetapi itu
tidak bermakna ukhwah antara kita dan dia terputus. Kita dan dia
sama-sama mencari redha Allah. Kita dan dia masih boleh sama-sama
bekerjasama untuk mencari redha Allah. Perbezaannya, dia halal untuk
isterinya sedangkan untuk kita, dia tetap lelaki ajnabi seperti yang
awalnya," emak berhenti seketika.
Tentu kering tekak emak menerangkan kepada saya persoalan hati ini.
"Jadi di sini mak nak kamu faham, jatuh cinta bukan perkara luar
biasa. Dan berkahwin pun bukan suatu jaminan untuk tak jatuh cinta pada
lelaki lain. Kerana itulah ramai isteri yang curang, suami yang
curang. Ada orang tukar pasangan macam tukar baju. Apa yang penting
ialah kita kena perjelaskan pada diri kita supaya setiap kali kita
jatuh cinta, jatuh cinta itu kerana kita jatuh cinta kepada
Pencipta dia. Kita beritahu pada diri kita berulang kali yang
kita mencintai Allah, kerana itu kita mencintai si dia. Letakkan
Allah sebagai sempadan hati kita, segala perkara yang kita
cintai dan sayangi termasuk mak ayah adalah kerana mencintai Allah. Dan
apabila kita membenci seseorang atau sesuatu, beritahu pada diri
sendiri berulangkali yang kita benci sekian-sekian hal kerana Allah
semata-mata."
"Hati kita ni walaupun dalam dada kita sendiri, ia tetap bukan milik
kita. Kita tak mampu untuk mengawalnya. Hanya Allah yang boleh
memegangnya. Sebab tu kita kena dekatkan diri dengan Allah.
Sebab kita nak dia pegang kukuh-kukuh hati kita. Bila dia
pelihara dan masuk dalam hati kita, itulah nikmat lazatnnya bercinta.
Masa tu biarpun satu dunia menyakiti kita, kita tak rasa sakit sebab
kita asyik dengan nikmat bercinta dengan Allah. Bercinta dengan Allah
sangat berbeza dari bercinta dengan manusia. Kerana tentulah pegalaman
bercinta dengan lelaki kaya, rupawan, sempurna dan bijaksana tak sama
rasanya bercinta dengan lelaki miskin, hodoh,cacat dan dungu. Betapa
nikmatnya cinta Allah, hanya mereka yang pernah merasai sahaja yang
mampu mengerti."
"Walau siapapun jodoh yang Allah hantarkan untuk kamu, terimalah
dengan hati yang redha. Tak mustahil dia adalah orang yang kita benci.
Kalau yang kamu sayang, tak jadi hal lah. Tapi kalau dapat yang kamu
tak nak, lantaran kelemahan yang ada pada dia, ingatlah bahawa
dalam diri setiap insan telah Allah ciptakan dengan kelebihan
masing-masing. Dan mungkin kamu ada kekuatan yang dapat
mengubah si lelaki tadi supaya hidup dia bermakna dan mungkin kamu
sahaja yang mampu mencungkil kelebihan yang ada pada dia. Mungkin juga
si lelaki ini ada sesuatu kelebihan yang kamu sangat-sangat perlukan
yang satu dunia tak mampu bagi pada kamu.. Alangkah bertuahnya kamu
kalau kamu mengerti setiap pemberian Allah dan belajar untuk
bersyukur," sekali lagi berjuraian air mata saya turun. Terasa lemah
lutut hendak berdiri.
Emak menarik tubuh saya dan memeluk erat. Pelukan
emak sangat-sangat kuat. "Emak dah didik anak emak dari belum
lahir untuk mencintai Allah. Sekarang emak serahkan anak emak
yang mak sayang sangat ni pada Allah untuk Dia pelihara," emak
mengakhiri kata-katanya dengan suara sebak dan air mata yang mengalir ke
bahu saya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)




No comments:
Post a Comment