Firman Allah yang bermaksud: "Allah Maha Berkuasa atas segala
sesuatu, Dialah yang mentakdirkan adanya kematian dan kehidupan untuk
menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah di antara kamu yang
lebih baik amalannya." - (Surah al-Mulk, ayat 1-2) .
Menyingkap maksud firman Allah itu, manusia sentiasa akan diuji
dengan kebaikan dan kesulitan. Segala perkara atau peristiwa berlaku
dengan izin dan kehendak Allah.
Bagi Allah segala-galanya adalah kebaikan untuk hamba-Nya.
Penerimaan manusia boleh jadi berbeza sama ada perkara itu baik atau
buruk kecuali orang mukmin yang memiliki keimanan sebenar. Sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Allah sungguh kagum kepada orang mukmin, apabila menerima nikmat ia
bersyukur dan apabila ditimpa musibah ia bersabar." - (Maksud
al-Hadis)
Setiap detik kehidupan kita perlu meyakini bahawa kita berada dalam
ujian Allah sehingga roh bercerai daripada badan. Firman Allah yang
bermaksud:
"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan saja mengatakan
kami sudah beriman sedangkan mereka tidak diuji terlebih dulu. Dan
sesungguhnya kami sudah menguji orang sebelum kamu maka sesungguhnya
Allah Maha Mengetahui orang yang benar dan orang yang dusta." (Surah
al-Ankabut, ayat 2-3)
Manusia diberi kemampuan mengamati atau menilai sesuatu perkara dan
peristiwa secara zahir melalui deria penglihatan. Manusia juga dapat
mengguna akal untuk mentafsir perkara atau peristiwa yang dilihat.
Manusia yang lebih tinggi martabatnya ialah apabila dapat melihat
melalui mata hati. Ini adalah penglihatan atau gambaran cahaya iman.
Allah berfirman yang bermaksud: "Maka ambillah pelajaran wahai orang
yang memiliki mata hati." (Surah al-Haysr, ayat 2)
Sering kali kita terdengar rungutan apabila hari hujan kerana hujan
yang turun menyusahkan untuk ke pejabat atau ke mana saja sedangkan
bagi tukang kebun atau petani, hujan adalah rahmat Allah yang akan
menyuburkan pokok serta tanaman mereka. Begitulah kepelbagaian ragam
dan persepsi dalam kehidupan.
Segala penentuan Allah diterima dengan persepsi berbeza antara satu
sama lain. Perbezaan sudut pandang ini bergantung kepada beberapa
perkara seperti ilmu, keimanan, amalan dan ketakwaan seseorang. Orang
beriman sentiasa reda dan menerima segala ketentuan dengan hati tenang
kerana mereka berfikir secara positif, mencari hikmah di sebalik setiap
peristiwa.
Setiap insan sentiasa mengharapkan kedamaian dan ketenangan hidup,
bahkan manusia menginginkan kesenangan itu berpanjangan. Realiti
kehidupan tidak selalu begitu kerana langit tidak selalunya cerah.
Panduan berikut boleh dijadikan pedoman untuk mendidik diri menerima
sesuatu peristiwa baik atau buruk dengan penuh keredaan. Dengannya
kita akan berasa tenang dalam menerima sesuatu dengan rela hati :
Bersyukur kepada Allah
dan Membilang Nikmat-Nya
Kita beriman bahawa Allah tetap memberi nikmat di dunia kepada semua
hamba-Nya. Apabila kita mendapat nikmat-Nya kita bersyukur dan
mengiktiraf nikmat itu supaya tidak lupa jasa Allah.
Firman Allah yang bermaksud: "Allah sudah menyempurnakan nikmat-Nya
kepada kalian baik yang zahir mahupun yang batin." - (Surah Luqman,
ayat 20)
Allah berfirman yang bermaksud: "Dan jika kalian menghitung nikmat
Allah nescaya kalian tidak akan dapat menghitungnya." - (Surah Ibrahim,
ayat 34)
Nabi Sulaiman yang dikurniakan kerajaan dan kekayaan berkata: "Ini
termasuk dalam kurnia Tuhanmu untuk menguji aku adakah aku bersyukur
atau kufur nikmat." - (Surah an-Namlu, ayat 20) .
Syukur bukan setakat mengucapkannya tetapi kita perlu zahirkan
kelakuan orang yang bersyukur dalam bentuk perbuatan. Contohnya,
apabila seseorang itu mendapat keuntungan daripada perniagaan
diusahakannya, dia akan dibelanjakan ke jalan halal dengan ikhlas.
Musibah Menghapuskan
Dosa
Kita menerima musibah dengan positif untuk menyedarkan kita supaya
menilai kembali tingkah laku. Sebagai manusia, kita tidak sunyi
daripada melakukan dosa. Musibah dapat melenyapkan dosa yang dilakukan.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Tidaklah seseorang mukmin itu ditimpa kecemasan, kegelisahan, rasa
sakit dan keletihan hingga tertusuk duri melainkan dengan semua itu
Allah akan menghapuskan dosanya." - (Maksud al-Hadis)
Bersabar Tanda
Kemenangan
Allah mendidik kita supaya menerima sesuatu dengan reda dan sabar
kerana Allah bersama dengan orang yang sabar. Orang yang bersabar akan
mendapat kemenangan di dunia dan syurga di akhirat. Firman Allah yang
bermaksud:
"Dan supaya kamu jangan terlalu berduka cita terhadap apa yang
hilang daripada kamu dan janganlah kamu terlalu gembira apabila
mendapat sesuatu nikmat." - (Surah al-Hadid, ayat 23)
Berdoa dan Memohon
Pertolongan Hanya Kepada Allah
Doa adalah senjata orang mukmin. Berdoalah dengan
bersungguh-sungguh, yakin dan kenalilah Allah ketika senang nescaya
Allah akan mengenali kita ketika susah. Berdoa dengan khusyuk dan
jadikan berdoa para nabi sebagai panduan. Bayangkan bagaimana pasrah dan
khusyuk nabi berdoa dalam keadaan genting.
Kita juga tahu Allah memakbulkan doa mereka. Nabi Ibrahim berdoa
memohon pertolongan Allah ketika dibakar dalam unggun api yang marak
menyala, Nabi Muhammad ketika perang Badar dan Nabi Musa yang cemas
ketika di kepung Firaun di Laut Merah dan saat kegelapan Nabi Yunus
dalam perut ikan.
Membaca al-Quran
Al-Quran adalah kitab rujukan utama kepada setiap mukmin yang
cemerlang. Kitab ini perlu dibaca dan difahami maksudnya setiap hari
dengan tujuan melembutkan hati serta mendidik jiwa supaya istiqamah
dalam amalan yang baik.
Allah sentiasa mengingatkan supaya mengambil pendekatan sederhana
kerana keluh kesah akan menambah lagi musibah. Apabila menerima sesuatu
musibah, kita zahirkan rasa syukur dengan membandingkan musibah lebih
besar atau membandingkan musibah dihadapi orang lain.
Mengambil pelajaran dan melihat sesuatu hikmah dalam setiap perkara
akan melahirkan insan yang celik perasaan serta mampu mengharungi hidup
yang penuh pancaroba.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)




No comments:
Post a Comment