Saturday, November 9, 2013
Hakikat Khusyuk
Dr Yusof al-Qaradhawi menjelaskan, terdapat dua jenis khusyuk. (Fatawa al-Mu’asirah, al-Qaradhawi, 1/252)
1. Khusyuk Hati
Khusyuk hati ialah merasakan pengawasan Allah SWT serta kehebatannya dengan meneliti (tadabbur)makna ayat-ayat al-Quran yang dibaca dan zikir-zikir yang dilafazkan seperti takbir, tasbih dan lain-lain. Hal yang demikian itu akan menyebabkan seseorang itu benar-benar merasakan ia berada di hadapan Allah SWT.
Perlu difahami iaitu keadaan tidak khusyuk yang ditegah oleh Islam ialah kesibukan pemikiran dan hati (ketika solat) dalam urusan dunia. Bagaimanapun, jika semasa solat seseorang berfikir dan disibukkan mindanya oleh urusan akhirat dan Islam, seperti semasa solat, seseorang memikirkan bagaimana kaedah ingin memenangkan umat Islam dan menaikkan kalimah hak, maka ia tidaklah ditegah.
Dalilnya ialah tatkala Baginda SAW menghantar seorang parsi untuk mengintip berita musuh, lalu baginda pun mendirikan solat selepas itu. Bagimanapun baginda berpaling ke jalan laluan pengintip baginda tadi.
Maka Ibnu Qayyim berkata, ini ialah satu jenis kesibukan pemikiran, dan jenis palingan orang yang lalai pemikirannya adalah hal yang lain. (Zadu al-Ma’ad, 1/63)
Demikian juga Saidina Umar al-Khattab pernah memberikan arahan secara keramat atau luar biasa kepada kumpulan tentera Islam dalam solatnya dan juga khutbah.
2. Khusyuk Anggota
Khusyuk anggota pula merupakan pelengkap dan manifestasi daripada kekhusyukan hati seseorang yang sedang solat. Sebagaimana dinyatakan dalam sebuah athar, “Jika khusyuk hati, maka khusyuklah semua anggotanya.” (Sunan al-Baihaqi, 2/285, al-Hakim dan at-Tirmizi, dengan sanadnya daripada Abu Hurairah secara marfuk. Bagimanapun dalam sanadnya, terdapat perawi yang telah disepakati lemahnya, dan apa yang diketahui sebenarnya ia adalah kata-kata tabiin besar Said bin al-Musayyab)
Khusyuk anggota yang dimaksudkan ialah tidak berpaling, bergerak-gerak yang banyak, yang bukan daripada perbuatan solat, sehingga dilihat tiada beza dengan keadaan orang yang di luar solatnya. Menurut para ulama ketika menghuraikan athar ini, ia ditujukan khas kepada orang yang kerap lalai dalam solatnya. (at-Taisir bi Syarh al-Jami’ as-Saghir, 2/308)
copy paste : fb Fathullah Al-Haq Muhd Asni
Subscribe to:
Post Comments (Atom)




No comments:
Post a Comment